POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian orang hilang itu pada 4 September lalu.
Menurutnya, remaja berkenaan dikenali sebagai Nur Emalin Natasha Mat Nasir, 15, dan dipercayai hilang kira-kira jam 5 petang pada 27 Ogos lalu.
“Lokasi terakhir remaja berkenaan dilihat adalah di Apartment Sri Cempaka, Jalan Sepakat Indah 2/1, Taman Sepakat Indah, Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, remaja terbabit mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter, berat 65 kilogram dan berbadan berisi.
“Dia mempunyai rambut lurus dan panjang serta warna kulit kuning langsat,” katanya.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-8911 4222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Amiruddin Abdul Hamid di talian 013-230 4156.





