TAKTIK sindiket pelacuran menawarkan khidmat seks secara persendirian dengan menyewa unit hotel dan kondominium serta mencari pelanggan menerusi aplikasi WeChat dan WhatsApp terbongkar selepas digempur polis menerusi Op Noda di sekitar Cyberjaya, Damansara dan Puchong, semalam.
Operasi yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula kira-kira jam 7 malam hasil risikan dan maklumat awam.
Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an terdiri daripada tiga warga Thailand dan lima warga Indonesia yang disyaki menawarkan khidmat seks.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai bertindak sebagai penghantar (transporter) wanita terbabit kepada pelanggan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati wanita berkenaan menjalankan kegiatan pelacuran secara persendirian dengan menyewa unit hotel dan kondominium sebagai lokasi menawarkan perkhidmatan seks.
Katanya, pelanggan diperoleh menerusi aplikasi WeChat dan WhatsApp dengan bayaran dikenakan antara RM150 hingga RM540 bagi setiap sesi mengikut tempoh serta jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
“Mereka akan memuat naik gambar dan lokasi melalui aplikasi media sosial bagi menarik pelanggan sebelum mengatur temu janji.
“Pelanggan akan diambil di lobi bangunan sebelum dibawa ke unit yang disewa untuk mendapatkan perkhidmatan seks. Bayaran pula dipercayai dibuat selepas perkhidmatan selesai,” katanya.
Tambah sumber, semakan turut mendapati terdapat wanita warga asing yang dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum menyalahgunakannya untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral, manakala sebahagian lagi didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk telefon bimbit, kondom, tuala, kad akses premis serta wang tunai.
Seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an mendakwa dia mula menawarkan khidmat seks sejak beberapa bulan lalu bagi memperoleh pendapatan tambahan.
“Saya datang ke sini ketika cuti semester selepas selesai menduduki peperiksaan di universiti di Indonesia. Saya tahu perbuatan ini salah, tetapi saya perlukan wang untuk menampung kos pelajaran,” dakwanya.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Sepang dan Serdang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






