Warga emas meninggal dunia disyaki dipukul anak lelakinya

LELAKI  warga emas berusia 83 tahun yang meninggal dunia  akibat kecederaan parah di kepala disyaki dipukul anak lelakinya yang mempunyai masalah mental (skizofrenia).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 41 tahun dipercayai bertindak di luar kawalan dengan kejadian disaksikan adiknya.

“Difahamkan, kejadian tercetus apabila bapanya menegur suspek. Mangsa dikenali sebagai seorang bapa yang tegas. Teguran berkenaan menyebabkan suspek terkejut, memusing badan dan menumbuk mangsa secara tiba-tiba sehingga terjatuh ke lantai simen.

“Selepas insiden itu, suspek dalam keadaan terpinga-pinga kemudian naik ke tempat tidur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah.

Beliau berkata, suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan, namun isu berkaitan tahap kesihatan mental suspek akan ditentukan oleh pakar perubatan.

Semalam Mohd Yusoff berkata, warga emas berkenaan cedera parah di kepala selepas dikatakan terlibat dalam satu kejadian di Kampung Masjid Bayam, pada jam 11.30 pagi Isnin lalu.

Katanya, mangsa dibawa ahli keluarga ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke HRPZ II dan disahkan meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian akibat kecederaan daya tumpul di bahagian kepala yang menyebabkan keretakan tengkorak serta pendarahan dalam otak,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img