IMAM Masjid Nabawi, Sheikh Abdulmohsen Al-Qasim mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah puak Houthi menyasarkan dua kota suci Mekah dan Madinah dalam serangan mereka.
Ketika menyampaikan khutbah Jumaat semalam, Sheikh Al-Qasim turut mengecam tindakan kumpulan pengganas itu menakut-nakutkan penduduk yang hidup denga naman.
Beliau turut mengingatkan mengenai amaran keras Nabi Muhammad SAW terhadap sesiapa yang melakukan kezaliman dengan menakutkan penduduk Madinah.
Sheikh Al-Qasim menyebut perkara itu susulan tindakan ganas puak Houthi yang menjadikan beberapa wilayah di Arab Saudi termasuk Mekah dan Madinah sebagai sasaran.
Sementara itu, pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan di tujuh kawasan, memberi peringatan kepada penduduk mengenai ancaman yang tidak dinyatakan serta menggesa mereka mematuhi arahan disampaikan menerusi platform amaran awal kebangsaan.
Menurut Anadolu Ajansi yang memetik hantaran berasingan pertahanan awam di X, amaran itu dikeluarkan di Jeddah, Taif, Yanbu, AlUla, Khamis Mushait, Jazan dan Abha.

Pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk ancaman yang mencetuskan amaran berkenaan, selain tidak melaporkan sebarang kematian atau kerosakan.
Pihak berkuasa pertahanan awam kemudian memaklumkan bahawa ancaman itu telah berakhir di kesemua lima wilayah berkenaan.
Amaran itu dikeluarkan sehari selepas pihak berkuasa Saudi mendakwa seorang terbunuh manakala dua lagi cedera akibat serpihan sebuah dron Houthi yang dipintas di ruang udara wilayah Taif di bahagian barat negara itu.
Pihak berkuasa Saudi turut mengeluarkan amaran serupa sejak beberapa hari kebelakangan ini di beberapa kawasan termasuk Abha dan Khamis Mushait, sebelum kemudiannya mengumumkan bahawa ancaman telah berakhir





