Pekerja kafe maut digilis treler di Alor Setar

SEORANG pekerja kafe maut selepas terjatuh dari motosikal sebelum digilis treler dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alor Star Mall, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Nur Atikah Umairah Suhaimi, 21, dari Kampung Alor Pulai, Mukim Kangkong, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah treler dan motosikal Yamaha NVX daripada orang awam serta bilik kawalan Kota Setar.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah sama, iaitu Masjid Aman menghala ke Alor Star Mall dan Taman Desa Seraya.

“Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat dan lampu mula bertukar hijau, kedua-dua kenderaan bergerak membelok ke kanan sebelum treler yang berada di sebelah kanan bergesel dan melanggar motosikal mangsa.

“Impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal terbabit terjatuh sebelum digilis treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, pemandu treler berusia 40 tahun dari Langkawi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah.

“Siasatan turut mendapati pemandu mempunyai lima saman, namun empat daripadanya sudah dijelaskan manakala satu saman membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh masih belum dijelaskan. Pegawai penyiasat sudah melawat lokasi kejadian dan polis sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here