Imigresen Johor tahan 33 PATI dalam operasi besar-besaran

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menggempur beberapa lokasi tumpuan warga asing dan menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi penguatkuasaan besar-besaran, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan pasukan Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor membabitkan beberapa premis perniagaan dan lokasi dipercayai menggaji serta melindungi PATI.

Antara lokasi yang diserbu JIM Johor menerusi operasi penguatkuasaan besar-besaran, semalam.

“Antara lokasi diserbu termasuk kedai makan, premis cuci kereta, kedai gunting rambut serta rumah kedai yang dijadikan tempat penginapan pekerja asing.

“Serbuan dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai menyalahgunakan pas serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap majikan, pekerja dan individu di lokasi bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 33 warga asing ditahan terdiri daripada warga Nepal, Indonesia, India, Bangladesh dan Myanmar berusia antara 20 hingga 51 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan pas dan tinggal secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Selain itu, lapan saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, Mohd Rusdi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal secara haram di negara ini.

“Tindakan tegas turut akan diambil terhadap majikan dan individu yang didapati melindungi, menggaji atau bersubahat dengan PATI,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img