ADINDA kepada Sultan Terengganu, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mangkat pada jam 1.20 pagi tadi di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan menerusi pengumuman rasmi yang dibuat dengan titah perkenan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham Tengku Baderul Zaman dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada jam 1.15 petang ini dengan pesawat khas.
Pemangku Raja Terengganu dijadual menyambut ketibaan jenazah sebelum dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir.
“Selepas solat Asar pada jam 4.13 petang, solat jenazah akan dilaksanakan sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu bagi Istiadat Pemakaman,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.
Pemangku Raja Terengganu turut berkenan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober 2026.
Sementara itu, majlis tahlil akan diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.





