INDUSTRI seni negara khususnya perfileman perlu diberikan ruang yang lebih terbuka dan tidak terlalu dikongkong supaya dapat berkembang seiring tuntutan generasi muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu bagaimanapun tidak bermakna negara perlu mengikut acuan Barat, sebaliknya nilai budaya, akhlak dan identiti masyarakat perlu terus dipelihara.
“Saya tidak mahu menggambarkan saya ini sosok yang terlalu liberal, dihujat, dikecam oleh kalangan yang konservatif.
“Tetapi saya nak bicara hal ini secara terus terang. Kalau kita mahu negara ini maju, tentu kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Damansara Damai, Petaling Jaya, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan lebih terbuka itu penting bagi memastikan industri seni negara, khususnya filem, tidak terus tertekan akibat terlalu banyak sekatan.
“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat. Tetapi acuan Timur itu tidak semestinya aliran neokonservatif.
“Aliran Timur itu harus kekal dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak tetapi harus lebih terbuka.
“Kerana kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni negara, khususnya filem tidak akan berkembang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan akan mewujudkan ruang perbincangan yang lebih terbuka bagi memastikan penggiat seni tidak berasa terlalu tertekan dan terkongkong.
“Ini yang saya nak tekankan dan saya bagi pihak kerajaan ingin menjamin supaya harus ada ruang perbincangan lebih terbuka dan kita akan tentukan supaya ruang harus diberikan lebih terbuka supaya penggiat seni tidak rasa terlalu tertekan dan terkongkong,” katanya.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac.





