JABATAN Imigresen (JIM) menumpaskan kegiatan pelacuran dipercayai beroperasi secara tersusun kira-kira setahun dan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun menerusi serbuan di tiga lokasi sekitar Seremban.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata 57 individu berusia 19 hingga 65 tahun ditahan, termasuk tujuh lelaki tempatan dalam operasi bermula 2 petang semalam.
Menurutnya, tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Myanmar, 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh serta seorang wanita warga India turut ditahan.
“Siasatan mendapati kegiatan ini dijalankan dengan menempatkan wanita asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh seminggu hingga sebulan.
“Premis ini dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wanita asing itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM50 kepada pelanggan yang terdiri daripada warga asing dan tempatan.
“Kegiatan ini dipercayai beroperasi kira-kira setahun, dengan struktur pengurusan tersusun bagi memastikan kegiatan tersebut terus beroperasi dan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun.”
Jelasnya, pemeriksaan di premis itu turut menemui beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom.
Zakaria berkata, tujuh warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, ibu pejabat imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur susulan maklumat awal berkaitan warga Indonesia terbabit aktiviti tidak bermoral serta hasil risikan.





