DATARAN Merdeka malam tadi bukan sahaja menyaksikan kehadiran lebih 20,000 orang sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza tetapi juga menyaksikan ketegasan pemimpin Malaysia dalam menentang kekejaman rejim Zionis.
Tanpa berselindung mahu berlapik, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas dan lantang mengecam habis-habisan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan rejimnya yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza.
Perdana Menteri menyifafkan apa yang dilakukan rejim Zionis sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas kewarasan.
Anwar berkata keganasan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital serta sekolah di wilayah berkenaan dan pelbagai bentuk kezaliman jelas menunjukkan rejim Zionis sanggup menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.
“Saya sudah berusia 78 tahun belum pernah melihat, baca dan dengar zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.
“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun dituduh Hamas. Ini adalah penyakit,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Anwar juga membidas dan mempersoalkan sikap negara-negara Barat yang memilih untuk berdiam diri terhadap penindasan di Gaza meskipun mereka sebelum ini menolak penjajahan.
“Saya pernah tanya pemimpin-pemimpin negara Eropah, Amerika dan lain-lain, apakah kita berjuang untuk menerima penjajahan? Mengapa dalam soal Gaza, penjajahan diizinkan? Apakah kita boleh menerima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita?
“Mengapa di Gaza? Kerana Arabnya, kerana Islamnya, kerana namanya Palestin? Itu soalan yang perlu mereka jawab dan jawapan mereka hanya satu iaitu Hamas. 7 Oktober (serangan Hamas terhadap Israel). Itu sahaja jawapan mereka,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan segala yang berlaku di Gaza adalah akibat kezaliman berpuluh-puluh tahun oleh Israel yang menyaksikan tanah rakyat Palestin dirampas, rumah dimusnahkan, sekolah dirobohkan, masjid diruntuhkan malah gereja turut dihancurkan.
Katanya perjuangan Palestin tidak dapat dipisahkan daripada sejarah imperialisme, kolonialisme dan eksploitasi yang berterusan.
“Ini bukan manusia, ini haiwan! Itu jawapan kita kepada mereka. Segala yang anda miliki diambil, tanah, air, rumah, keluarga, anak-anak semuanya dirampas. Itulah penjajahan.
“Mengapa sukar untuk memahami realiti ini? Mengapa ada yang bercakap mengenai hak asasi manusia dan demokrasi? Hak manusia apa? Demokrasi apa? Perintah dunia apa?” soal Perdana Menteri.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotila Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.


