UGUTAN untuk membakar rumah seorang warga emas yang didakwa mempunyai hutang akhirnya memakan diri apabila orang suruhan ‘along’ yang terbabit dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Tertuduh, Kylee Choo Hsien Xin, 25, dipenjara 14 hari dan didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass atas pertuduhan membuat ugutan jenayah terhadap mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki yang tidak bekerja itu membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membuat ugutan menerusi sekeping nota untuk melakukan khianat terhadap rumah milik seorang warga emas berusia 67 tahun di Taman Selatan, Yong Peng, kira-kira jam 3 pagi pada 7 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan dibaca bersama Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menemui satu notis ugutan bertulis tangan yang ditampal di hadapan rumahnya kira-kira jam 6 pagi pada hari kejadian.
Selain ugutan berkenaan, bahagian hadapan rumah mangsa turut disimbah cat merah sebelum warga emas itu membuat laporan polis.
Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada 23 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Hasil analisis perbandingan tulisan tangan yang dilakukan oleh makmal forensik polis mengesahkan nota ugutan berkenaan ditulis oleh tertuduh sebelum ditampal pada pintu pagar rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


