BEKAS pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Sheila memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pemecatannya daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kebenaran itu diberikan Hakim S Indra Nehru selepas pihak Peguam Negara yang diwakili Peguam Persekutuan, Mohd Solihin Md Zaki tidak membantah permohonan berkenaan.
Mohd Solihin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, lapor Sinar Harian.
Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 38, memfailkan permohonan secara sebelah pihak (ex-parte) pada 29 Oktober lalu selepas dipecat daripada jawatannya berkuat kuasa 3 Julai lalu.
Permohonan itu difailkan menerusi Tetuan M Manoharan & Co dengan menamakan empat pihak sebagai responden, iaitu bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib PDRM, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Lembaga Tatatertib PDRM; Suruhanjaya Pasukan Polis dan Kerajaan Malaysia.
Berdasarkan afidavit sokongan, Sheila memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pemecatannya dengan mendakwa tidak diberikan peluang sewajarnya untuk membela diri sebelum tindakan tatatertib itu diputuskan.
Menerusi permohonan berkenaan, beliau turut memohon Mahkamah Tinggi membatalkan dua keputusan tatatertib yang membawa kepada pemecatannya.
Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu membolehkan Sheila meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkenaan.




