Institusi sekolah pondok, madrasah akan terus diperkasa – PM

KERAJAAN memberi jaminan akan terus memperkukuh institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok dan madrasah menerusi penyaluran bantuan serta peruntukan tambahan bagi memastikan pembangunan sektor itu terus diberi perhatian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan khususnya dalam menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Anwar berkata, sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara pada 2022, beliau mengumumkan pengembalian bantuan peruntukan kecil kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dihentikan sejak 2003.

Bagaimanapun katanya, peruntukan sedia ada masih belum mencukupi memandangkan banyak SAR berada dalam keadaan daif dan memerlukan pelbagai kemudahan tambahan.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi yang, meskipun tidak pernah menuntut di institusi pendidikan agama ketika zaman persekolahan, banyak menimba ilmu daripada golongan ilmuan agama sejak melanjutkan pengajian di universiti.

“Saya kenang yang dulu biar pun menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar tetapi saya buat persefahaman dengan beberapa rakan dari Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar bahawa pada hujung minggu saya akan mengajar mereka Bahasa Inggeris di madrasah itu manakala mereka pula mengajarkan saya Bahasa Arab.

“Insya-Allah dengan kerjasama jabatan agama (JAIN) dan Dr Zulkifli saya akan bagi perhatian selain daripada bantuan (yang disalurkan) hari ini dan saya akan mohon perkenan Tuanku Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) untuk berikan apa-apa suntikan bantuan yang perlu untuk (Madrasah) Idrisiah.

“Walaupun saya tidak pernah berpengalaman mengaji sekolah pondok atau sekolah Arab, tetapi saya bersyukur kerana dapat berdamping dengan tuan-tuan guru, ustaz-ustaz termasuk naqib usrah semasa saya di Universiti Malaya, kemudian bersama-sama dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor di Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Zulkifli; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada Maahad Al-Ummah Chemor, selain tambahan RM15 juta kepada peruntukan bernilai RM15 juta yang telah disalurkan tahun lalu bagi sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Perak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menghargai usaha golongan asatizah serta pimpinan institusi pondok yang bukan sahaja mengekalkan tradisi pengajian Islam melalui pengajian kitab-kitab turath, malah turut bersedia meneroka bidang ilmu baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran dan teknologi digital.

“Terima kasih atas kerjasama MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) yang juga membantu untuk memperbaiki sekolah-sekolah agama ini.

“Saya bagi jaminan, insya-Allah kalau terus sihat, ekonomi begini, Insya-Allah kita akan tingkatkan martabatkan sekolah agama sekolah pondok seluruh negara; serta kita teruskan apa yang disebut inisiatif atau ikhtiar transformasi digital institusi pendidikan Islam yang kita luncurkan pada Mac lalu.

“Kita mulakan mana yang mampu sebab ada beberapa pondok, maahad atau sekolah agama yang beberapa teknologi baru itu diberikan supaya anak-anak boleh lebih bersedia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img