Lapan pelajar direman kes gaduh berpunca isu kandungan AI

SERAMAI lapan pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan insiden pergaduhan dan rusuhan yang tular di media sosial, dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan penyebaran kandungan seksual dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perintah reman sehingga 17 Julai itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas membenarkan permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kesemua pelajar tingkatan satu dan dua itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah pagi ini, polis mengesan video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp pada 13 Julai lalu, memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah dengan seorang lelaki awam menggunakan topi keledar sebagai senjata.

Siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 10 Julai lalu di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas dan dipercayai tercetus susulan perselisihan berhubung penyebaran gambar serta video seksual yang dimanipulasi menggunakan teknologi AI dengan mengedit wajah seorang lelaki dan seorang wanita.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu selepas pergaduhan berkenaan dileraikan orang awam yang berada di lokasi.

Hasil semakan polis di Facebook, TikTok dan Instagram juga tidak menemukan kandungan AI yang didakwa menjadi punca perselisihan berkenaan.

Sementara itu, pihak sekolah dilaporkan mengambil tindakan awal dengan memanggil pelajar yang dikenal pasti terbabit, mendapatkan khidmat Unit Bimbingan dan Kaunseling, selain memberi nasihat serta memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Bertindak atas maklumat dan hasil penelitian terhadap video tular itu, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau diketuai Inspektor James Paran menahan lapan pelajar terbabit pada jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img