TIMBALAN Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di George Town bagi membantu siasatan agensi itu berhubung dakwaan salah guna dana zakat.
Mohamad yang merupakan Ketua PKR Pulau Pinang menaiki sebuah Proton X70 dan kenderaan itu dilihat memasuki pekarangan pejabat SPRM negeri kira-kira jam 9.48 pagi tadi, sebelum beliau memasuki bangunan berkenaan.
Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), dipercayai memberi keterangan berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan dana zakat disalah guna oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri bagi tujuan pembelian tanah.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan mengunjungi beberapa pejabat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk mendapatkan dokumen.
Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bersedia dipanggil SPRM untuk membantu siasatan dan akan memberi kerjasama penuh.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAIPP dan badan kutipan zakatnya telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada agensi antirasuah itu.
Pas juga menggesa Mohamad meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai bermotif politik.


