J-KOM lapor polis, dakwa perhimpunan Albert Tei ganggu operasi kementerian

JABATAN Komunikasi Komuniti (J-KOM) membuat laporan polis terhadap aktivis Albert Tei selepas didakwa empat kali mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Kementerian Komunikasi sehingga menjejaskan kelancaran tugas penjawat awam.

Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap beberapa siri perhimpunan yang dianjurkan individu terbabit sejak bulan lalu.

Menurutnya, tindakan berhimpun di hadapan Menara Komunikasi memberi gambaran negatif selain berpotensi mengganggu tugas ribuan penjawat awam yang bekerja di bangunan berkenaan.

“Laporan polis itu telah dibuat memandangkan beliau sudah empat kali berhimpun di depan Menara Komunikasi. Tindakan berhimpun di situ memberi signal yang tidak baik, terutamanya mengganggu-gugat beribu penjawat awam yang bekerja,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, laporan berkenaan dibuat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana didakwa menghina penjawat awam.

Selain itu, beliau berkata, J-KOM turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dakwaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian komunikasi bagi tujuan gangguan dan provokasi.

Katanya, laporan itu akan melibatkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita minta pihak polis menjalankan siasatan. Jika ada kesalahan, ambil tindakan dan jika sebaliknya, biarlah siasatan menentukan,” katanya.

Sebelum ini, Albert Tei bersama sekumpulan pencipta kandungan mengadakan bantahan duduk di lobi Kementerian Komunikasi susulan dakwaan sekatan terhadap akaun TikTok milik ahli perniagaan berkenaan.

Kumpulan itu mendakwa sekatan berkenaan dilakukan secara tidak adil dan menuntut penjelasan berhubung tindakan yang dikenakan terhadap akaun media sosial tersebut.

Mengulas dakwaan berkenaan, Mohd Hisyamuddin berkata setiap platform media sosial mempunyai garis panduan serta prosedur tersendiri yang perlu dipatuhi pengguna.

“Kalau di situ dah tak lepas, jangan terus salahkan pihak kementerian atau MCMC, kena siasat dahulu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img