Jabatan Kastam KLIA rampas dadah RM2.87 juta dalam dua operasi

JABATAN  Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan dadah jenis metamfetamina bernilai lebih RM2.87 juta menerusi operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 4 dan 14 November lalu.

Pengarah Kastam JKDM KLIA, Aspalila Ag Tuah, berkata dalam kes pertama pada 14 November, pihaknya berjaya merampas 15,456 unit kartrij vape mengandungi 30.91 liter cecair disyaki metamfetamina yang dianggarkan bernilai RM1.54 juta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua kartrij itu dibawa masuk dari Kuching, Sarawak, menggunakan dokumen Borang Kastam.

“Sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo, selain mengubah bentuk dadah kepada cecair dalam katrij vape bagi mengelak dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Aspalila berkata, dalam kes kedua, pihaknya berjaya memintas dua bungkusan kotak yang didaftarkan untuk dieksport ke sebuah negara di benua Oceania melalui salah sebuah pengendali terminal kargo (CTO).

“Hasil pemeriksaan rapi membawa kepada penemuan 26 ketulan mampat kristal Methamphetamine seberat 26.55 kilogram dangerman bernilai RM1.32 juta.

“Bagi kes ini dadah cuba dibawa keluar menggunakan perkhidmatan bungkusan (parcel) dan disembunyikan dalam paket plastik bertulisan ‘Refined Chinese Tea’ bagi mengelak imbasan pihak berkuasa,” katanya.

Susulan kedua-dua rampasan berkenaan, beliau berkata, wakil syarikat pengendali penghantaran barangan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan pesalah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan kerana ia merupakan satu bentuk ancaman besar.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai digesa terus membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menyalurkan aduan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

JKDM turut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here