JABATAN Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan turun padang ke beberapa penempatan Orang Asli di Gua Musang bagi menyiasat kejadian serangan gajah liar yang memusnahkan kebun penduduk serta mengancam keselamatan mereka.
Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed berkata, lawatan itu bertujuan membuat pemantauan serta siasatan menyeluruh selain menilai implikasi keselamatan di lapangan.
Menurutnya, kedua-dua agensi juga akan menyelaras proses taksiran Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) bagi meringankan beban penduduk Orang Asli yang terjejas.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius insiden pencerobohan sekumpulan gajah liar di kawasan penempatan Orang Asli sehingga menjejaskan sumber makanan dan pendapatan penduduk.
“Laporan diterima daripada wakil penduduk Orang Asli di Pos Belatim pada Selasa minggu lalu apabila sekumpulan gajah liar memusnahkan kawasan kebun milik mereka.
“Antara tanaman yang dikenal pasti musnah ialah pokok getah, pisang, ubi kayu, jagung dan sayur-sayuran yang bukan sahaja menjadi sumber makanan, malah punca pendapatan penduduk Orang Asli di pedalaman,” katanya.
Mohd Faedzyal berkata, pihaknya bersama PERHILITAN akan membantu penduduk membuat tuntutan BKHT selain menghulurkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas.
Katanya, JAKOA turut menghargai kerjasama serta laporan yang dibuat penduduk Orang Asli berhubung ancaman hidupan liar sehingga membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.
“JAKOA bersama PERHILITAN akan terus memantau situasi ini secara konsisten bagi memastikan keselamatan penduduk Orang Asli sentiasa terpelihara.
“Kami juga menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada terutama ketika berada di kawasan pinggir hutan atau kebun yang berisiko menjadi laluan hidupan liar,” katanya.
Semalam, media melaporkan tujuh pekebun Orang Asli di Pos Belatim terpaksa menanggung kerugian selepas kebun mereka dimusnahkan sekumpulan enam gajah liar sejak dua minggu lalu.
Kejadian itu menjejaskan tanaman di tiga kampung iaitu Kampung Belatim A, Kampung Belatim B dan Kampung Belatim C.
Selain Pos Belatim, penduduk di Pos Pasik turut melaporkan kehadiran gajah liar yang kerap berkeliaran berhampiran kawasan penempatan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.






