DADAH heroin bernilai RM2.09 juta yang cuba diseludup seorang rakyat Malaysia ke Macau dipercayai diperoleh di sebuah negara jiran sebelum dibawa masuk ke wilayah itu menggunakan laluan udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek juga dipercayai tidak berlepas dari Malaysia, sebaliknya menaiki penerbangan dari sebuah negara jiran di utara.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Macau semalam berhubung penahanan lelaki berusia pertengahan 20-an yang berasal dari Sarawak itu.
“Maklumat yang kita terima menunjukkan suspek bukan berlepas dari Malaysia tetapi dari negara jiran di utara. Kita juga percaya dadah yang dibawa oleh suspek diperoleh di negara jiran.
“JSJN sedang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dadah dari negara jiran memandangkan suspek menggunakan laluan lain selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tujuan penyeludupan dadah terbabit.
“Siasatan bersama sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang dan ahli sindiket lain yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah narkotik membabitkan kesalahan memiliki dadah dan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hussein berkata, heroin yang dirampas daripada suspek disembunyikan dalam tin berlabel pes tuna yang dibungkus bersama biskut bagi mengaburi pihak berkuasa.
“JSJN sedang menyiasat kaitan suspek dengan sindiket dadah di negara ini, termasuk mengenal pasti dalang dan ahli sindiket di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kes ini. Siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan seorang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas disyaki cuba menyeludup heroin seberat 2,987 gram.
Polis Kehakiman Macau dilaporkan berkata, suspek ditahan sebaik mengambil bagasi berdaftarnya selepas tiba di Macau dari rantau Asia Tenggara pada lewat malam 20 Jun lalu.
Pemeriksaan menemui 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi di dalam bagasi suspek, dengan setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin berlabel pes tuna.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati semua 49 tin itu tidak mengandungi pes tuna, sebaliknya dipenuhi serbuk putih yang kemudian disahkan sebagai heroin.
Siasatan pihak berkuasa Macau turut mendapati suspek dipercayai direkrut sindiket dadah di Malaysia untuk mengambil bekalan dadah di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludupnya ke Macau.
Dadah itu dipercayai akan dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket, manakala suspek dijanjikan upah RM3,000 atau kira-kira 6,000 pataca Macau selepas berjaya menyelesaikan tugasan berkenaan.






