Jerebu: Pasir Gudang catat bacaan IPU 206 pagi ini

KUALITI udara di Pasir Gudang, Johor mencapai tahap sangat tidak sihat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan setakat jam 8 pagi ini mencecah 206.

Menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 30 kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat termasuk di Larkin yang mencatat 193, menghampiri tahap sangat tidak sihat.

Selain Larkin, kawasan lain di Johor yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat adalah Pengerang (176), Batu Pahat (172), Kluang (171), Tangkak dan Kota Tinggi (164) dan Segamat (160).

Kualiti udara di sebahagian lokasi di Lembah Klang turut mencapai tahap tidak sihat iaitu Johan Setia (184), Klang (180), Putrajaya (173), Petaling Jaya (171), Batu Muda dan Shah Alam (170), Banting (169), Cheras (168) dan Kuala Selangor (155).

Di Negeri Sembilan, kualiti udara tidak sihat direkodkan di Nilai (189), Seremban (181) dan Port Dickson (171) manakala keadaan sama di Bandaraya Melaka (179), Bukit Rambai (178) dan Alor Gajah (172) di Melaka.

Di Perak, kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Seri Manjung (170), Tanjung Malim (162), Pegoh Ipoh (155) dan Tasek Ipoh (151).

Di Pahang, keadaan berjerebu dilaporkan di Temerloh (156), Rompin (152) dan Jerantut (127) manakala di Sabah, bacaan IPU tidak sihat dicatatkan di Tawau (152).

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 dikategorikan bahaya.

Semalam, Jabatan Pendidikan Selangor mengumumkan semua sekolah di bawah pentadbiran lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup hari ini akibat jerebu.

Ia meliputi Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama.

Sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan Sabak Bernam beroperasi seperti biasa, tetapi semua aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here