JHEAIK belum lulus lagi, tapi tanah kubur di Bedong dah berantakan…salah siapa?

FOKUS

SEMALAM  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memberitahu jabatan itu mengarahkan aktiviti penambakan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid, Bedong  dihentikan serta merta.

Pengarahnya, Datuk Dr Abdul Ghani Zainuddin berkata, aktiviti itu ditangguhkan bagi meneliti terlebih dahulu permohonan daripada pihak pengurusan masjid berkenaan untuk melakukan kerja penambakan di kawasan terlibat.

“Kita sudah menangguh dahulu aktiviti penambakan kerana JHEAIK perlu mengambil tindakan sewajarnya. Banyak langkah yang perlu dibuat dan diambil kira sebelum kelulusan diberikan.

“Pihak masjid dimaklumkan tentang perkara ini. Difahamkan kerja-kerja penambakan tersebut dibuat walaupun keputusan kelulusan belum diberikan. Banyak pihak yang perlu kita perlu rujuk termasuk Jabatan Mufti untuk kerja-kerja seperti ini,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Kata Abd. Ghani, JHEAIK menasihatkan semua pihak termasuk pengurusan masjid bersabar seketika sehingga permohonan melakukan kerja-kerja penambakan itu dinilai mengikut prosedur ditetapkan.

Persoalannya, kalau itulah jawaban yang diberikan oleh JHEAIK, adakah ia bermaksud kerja-kerja penambakan itu yang bermula dengan arahan mencabut batu nesan oleh waris-waris hakikatnya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa?

Kalau tidak ada kelulusan daripada pihak JHEAIK… jabatan mana yang memberi kelulusan atau kebenaran mahupun keizinan untuk kerja-kerja tersebut dijalankan? Dalam notis menyatakan ‘ segala aktiviti penambakan tanah kubur ini telah mendapat kebenaran daripada pihak Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Majlis Agama Islam Kedah’?

 Soalnya bagaimana dengan mesej yang tersebar pada Jumaat lalu dalam soal meminta waris mencabut batu nesan? Siapa beri kelulusan? Siapa beri kebenaran untuk pihak pengurusan masjid keluarkan arahan itu? Kalau betul ‘telah mendapat kebenaran’… kenapa JHEAIK menyatakan kelulusan belum diberikan?

Apakah ada kekeliruan memahami perkataan ‘kebenaran’ dan ‘kelulusan’?  Mungkin betul pejabat atau jabatan agama benarkan tetapi ia  tidak semestinya sudah diluluskan sebab seperti mana kata JHEAIK,’’ banyak pihak perlu rujuk’’ dan ‘’ permohonan melakukan kerja-kerja penambakan itu dinilai mengikut prosedur ditetapkan.’’

Apa yang berlaku ini tidak boleh dipandang ringan sama ada oleh JHEAIK,Majlis Agama Islam Kedah atau Pejabat Agama Islam Kuala Muda.Bagaimana kalau tidak ada video  dibuat oleh Aktivis Zamil Ibrahim? Adakah ia bermakna kerja-kerja penambakan diteruskan ketika kelulusan belum diberikan oleh JHEAIK?

Bagaimana pula dengan kerosakan batu nesan? Siapa yang akan bertanggungjawab? Adakah pihak masjid akan membayar ganti rugi terhadap kerosakan itu?

Sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan ia berulang. Ketiga-tiga pihak tersebut harus mendapatkan penjelasan daripada pengurusan masjid kerana mungkin juga mereka ada alasan tersendiri kenapa kerja penambakan itu dimulakan. Penulis tidak salahkan mereka atau mencari salah mana-mana pihak tetapi jawapan mesti diperolehi supaya ia tidak mewujudkan apa-apa prasangka.

Seperti mana penulis nyata sebelum ini, penduduk atau waris  akur dan patuh kalau penambakan terpaksa dilakukan memandangkan tanah perkuburan sedia ada sudah tidak mencukupi, tetapi lakukanlah secara tertib dan mengikut prosedur ditetapkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img