Tiada ujian diagnostik Tahun Satu, bantu kesejahteraan murid, kurangkan tekanan psikologi – Dr Anuar

TIMBALAN Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, keputusan kerajaan tidak melaksanakan ujian diagnostik khas kemasukan ke Tahun Satu bagi murid berusia enam tahun akan membantu kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan tekanan psikologi pada peringkat awal persekolahan.

Katanya, langkah tersebut merupakan keputusan tepat bagi memastikan hak semua kanak-kanak berusia enam tahun untuk memasuki alam persekolahan tidak disekat oleh sebarang bentuk penilaian awal.

“Pertama sekali saya menyambut baik persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meniadakan ujian itu kerana dalam amalan pendidikan awam, semua kanak-kanak yang mencapai umur enam tahun sepatutnya layak masuk sekolah tanpa sebarang ujian kelayakan.

“Konsep ujian kemasukan seperti ini tidak wujud di kebanyakan negara lain kerana ia bertentangan dengan prinsip pendidikan awam yang memberi peluang sama rata kepada semua,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini yang  bersetuju supaya ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027, tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pelaksanaan ujian diagnostik sebelum ini turut memberi tekanan psikologi kepada murid serta keluarga, sama ada sebelum mahupun selepas ujian dijalankan.

“Kanak-kanak akan tertekan kerana perlu menduduki ujian dan lebih terkesan sekiranya gagal. Ini memberi kesan emosi bukan sahaja kepada mereka, malah kepada ibu bapa juga, sedangkan mereka baru sahaja ingin memulakan alam persekolahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap keputusan berkenaan dapat membuka ruang lebih luas kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah tanpa sebarang halangan pada usia enam tahun.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana membuat keputusan yang tepat dan berpihak kepada kesejahteraan anak-anak kita,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img