IRAN menegaskan negara itu sama sekali tidak akan turun kepada sebarang ancama Amerika Syarikat (AS), tegas Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf,
Tegas beliau, Iran telah membuktikan selama beberapa dekad bahawa negara itu tidak tunduk kepada tekanan, dengan merujuk kepada pengalaman menghadapi cabaran ketenteraan, ekonomi dan politik.
Ghalibaf mengulangi bahawa ketidakpercayaan Iran terhadap AS kekal sebagai isu utama yang berlarutan selama 77 tahun, lapor almayadeen.
Beliau berkata Washington perlu memutuskan sama ada ia bersedia mengambil langkah untuk mendapatkan kepercayaan Iran, sambil menyatakan bahawa tindakan lalu, termasuk serangan ke atas Tehran semasa rundingan, telah menjadikan proses itu sukar dan memakan masa.
Kesediaan sedemikian, katanya, tidak cukup jelas dalam pusingan rundingan kali ini.
Sehubungan itu, Ghalibaf berkata satu-satunya jalan yang boleh diambil oleh AS adalah membina semula kepercayaan dengan Iran.
“Jika Amerika Syarikat mahu mencari jalan keluar, satu-satunya jalan adalah mendapatkan kepercayaan rakyat Iran,” katanya, sambil menambah bahawa Washington masih mempunyai “banyak perkara yang perlu dilakukan” untuk menangani tindakan lalu.
Beliau turut memberi amaran terhadap sebarang peningkatan ketegangan, dengan menyatakan bahawa Iran akan bertindak tegas terhadap sebarang ancaman.
“Jika anda memilih perang, kami akan berperang; jika anda mendekati dengan logik, kami akan bertindak balas dengan logik,” katanya, sambil menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata bahawa Tehran bersedia untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan adil dengan Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa kepentingan nasional adalah tidak boleh dirunding.
Kenyataan beliau dibuat semasa panggilan telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menurut kenyataan yang dikongsi oleh presiden Iran di media sosial, Pezeshkian berkata Iran “bersedia sepenuhnya” untuk mencapai perjanjian adil dengan Washington yang boleh membantu menjamin keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.
Beliau menyifatkan perjanjian sedemikian sebagai memberi manfaat kepada keselamatan serantau serta boleh diterima semua pihak.
Presiden Iran itu menegaskan bahawa kepentingan teras Iran dan hak rakyatnya merupakan garis sempadan jelas dalam sebarang rundingan dengan AS , dan prinsip tersebut tidak boleh dikompromi dalam proses diplomatik.
Dalam perbualannya dengan Putin, Pezeshkian turut memaklumkan perkembangan rundingan semasa dengan Washington, sambil menyatakan bahawa halangan utama kepada kemajuan adalah “standard berganda” dalam pendekatan Amerika Syarikat terhadap rundingan.
Mengenai rundingan itu, Ghalibaf berkata ia adalah “intensif, serius dan mencabar”, sambil menyatakan bahawa delegasi Iran mengemukakan inisiatif yang bertujuan menunjukkan niat baik.
Beliau berkata delegasi itu, dinamakan “Minab 168” sebagai penghormatan kepada pelajar yang syahid dalam serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah sekolah rendah di Minab, bergantung kepada input pakar dan pendekatan yang terselaras, yang menyumbang kepada kemajuan sepanjang perbincangan yang berlangsung lebih 20 jam.
Delegasi itu kekal bersatu walaupun melibatkan pandangan yang berbeza, selain bersifat serius dan kreatif dalam mempertahankan hak rakyat Iran, katanya sambil memuji prestasi ahli-ahlinya sepanjang rundingan yang panjang.


