Bot nelayan asing bernilai RM2 juta dirampas, 8 warga asing ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan lapan warga asing dalam dua operasi berasingan selepas dikesan menjalankan aktiviti di perairan negeri tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka ditahan dalam pemeriksaan ke atas sebuah vesel nelayan asing dan sebuah sangkar ikan di perairan negeri semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pemeriksaan pertama dilakukan terhadap sebuah bot nelayan asing yang dikesan pada kedudukan kira-kira 24.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 2.25 petang.

Menurutnya, vesel berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan operasi dijalankan Kapal Maritim (KM) Semilang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan adalah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan dikendalikan lima kru termasuk tekong, semuanya warga Indonesia berusia antara 23 hingga 25 tahun.

“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Nilai rampasan dalam kes pertama ini dianggarkan kira-kira RM2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati vesel terbabit dipercayai berasal dari Pantai Labu, Medan, Indonesia dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, kesemua kru disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah serta Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa pemakluman.

Dalam operasi kedua di sebuah sangkar ikan kira-kira 2.2 batu nautika selatan Pulau Aman pada hari yang sama, Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan mendapati tiada lesen sah dipamerkan di premis akuakultur berkenaan.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati tiga pekerja warga Myanmar berusia antara 18 hingga 27 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.

Beliau berkata, sangkar ikan itu turut disita mengikut Seksyen 11(3)(d) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti akuakultur tanpa lesen sah yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia.

Menurutnya, semua individu yang ditahan bersama barangan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img