Pemandu lori simen maut tersepit, kenderaan dipandu terbalik di tapak pembinaan

SEORANG pemandu lori simen maut akibat tersepit apabila kenderaan berat dipandunya itu terbalik di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP), Jalan Residensi di Georgetown hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa seorang lelaki warga Indonesia namun identiti dan umur masih belum diperoleh setakat ini.

ANGGOTA bomba dan penyelamat serta petugas perubatan memeriksa pemandu lori simen yang terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan dipandunya terbalik di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang di Georgetown hari ini. GAMBAR: JBPM Pulau Pinang

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.29 pagi itu, lori simen berkenaan dipercayai hilang imbangan sebelum terjatuh menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi kejadian.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 11.35 pagi dan operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota dari BBP Lebuh Pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai seorang pegawai dengan kekuatan 13 anggota termasuk penyelia dan ketua balai.

“Komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri lengkap dan menggunakan peralatan khas kebombaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Operasi turut dibantu sebuah kren yang berada di lokasi. Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.55 tengah hari namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.16 petang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img