LIMA cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta Toyota Vios berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, Jalan Haji Sirat di Sekinchan petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 2.49 petang.

Menurut beliau, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan Tanjong Karang bergegas ke lokasi.
Katanya, berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dan kereta Toyota Vios.
“Dua mangsa di dalam lori dengan seorang daripadanya tersepit. Manakala tiga lagi mangsa tersepit dalam kereta.
“Mangsa pertama di dalam kereta berjaya dibawa keluar dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa lain sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media.
Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa jam 3.50 petang.
“Dua mangsa dalam lori iaitu lelaki berusia 50 tahun patah tangan kanan dan luka di kaki. Manakala seorang lagi berusia 20 tahun luka di kaki kiri.
“Sementara itu, dua wanita masing-masing berumur 54 dan 27 tahun berjaya dikeluarkan. Mereka cedera di kepala dan patah kaki kiri,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima rawatan.


