
KRISIS dalam Bersatu dan perbalahan parti itu dengan Pas mula meleret-leret apabila tidak pasal-pasal nama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan (PH) dan UMNO mahu diseretkan bersama.
Kenapa perlu nama Perdana Menteri disebut, kenapa perlu PH diseret, kenapa perlu nama UMNO dikaitkan?
Pergolakan dalam PN berpunca daripada tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu. Beliau melahirkan hasrat tersebut pada 30 Disember di London dan ia berkuat kuasa pada 1 Januari.
Ketika di London juga, Muhyiddin bertemu dengan Tan Sri Annuar Musa. Bacalah apa yang dicoret oleh Annuar dalam Facebook beliau berhubung pertemuan itu antaranya:
‘’Menyentuh hal pimpinan PN,TSMY sangat konsisten. Berulang kali(tak kurang dari 5 kali) beliau sebut pada saya..”jika Pas mahu pimpin PN saya sedia bila bila masa lepaskan jawatan ini”. Malah dia beri bayangan “boleh berkuat kuasa 1hb Januari ini”…
‘’Malah dia beri mandat kepada saya supaya maklumkan pada pimpinan Pas.Tetapi saya tidak maklumkan,kerana saya bukan orang tengah….’’…..itulah coretan Annuar.
Apabila meletakkan jawatan Pengerusi PN, maknanya Muhyiddin tidak mahu menerajui gabungan itu tetapi kenapakah segalanya berubah apabila beliau kembali ke tanah air. Dan keputusan itu tidak ada kaitan dengan ‘serangan secara konsisten dari dalam dan luar parti.
Pas tidak pernah meminta Muhyiddin berundur walaupun keadaan dalam Bersatu bagaikan ‘ampang pecah’ sedangkan segalanya bermula daripada perhimpunan agung parti itu meluluskan usul mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri (PM).
Ia kemudiannya menjadi semakin serius selepas perhimpunan apabila seorang demi seorang pemimpin Bersatu dipecat dan digantung. Keadaan itu berlaku disebabkan wujud dakwaan ada gerakan menandatangani akuan bersumpah oleh ketua-ketua bahagian mahukan Muhyiddin berundur.
Maknanya, pergolakan Bersatu tidak ada kaitan dengan Pas, Anwar, PH mahupun UMNO, sebaliknya ia menunjukkan kegagalan kepimpinan Muhyiddin sebagai seorang Presiden parti.
Begitulah juga krisis dalam PN sekarang. Ia bukan salah Pas tetapi berpunca daripada pendirian Muhyiddin yang tidak konsisten. Kalau sudah letak jawatan, ‘Exit sajalah’…biarlah Majlis Tertinggi PN membuat keputusan melantik Pengerusi baharu dan seterusnya mengatur strategi bagi menghadapi PRU-16.
Kenapa pula mahu mencadangkan diwujudkan Majlis Presiden yang diketuai oleh Bersatu dan Majlis Eksekutif diterajui oleh Pas?
Siapa daripada Bersatu yang akan menjadi Pengerusi Majlis Presiden..sudah tentulah Muhyiddin, tak kan beliau hendak serah kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dalam ‘igauan’ orang-orang kanan Muhyiddin mahu menyingkirkan beliau dari Bersatu dan kemudiannya membubarkan Bersatu bagi menyertai UMNO?
Oleh itu tidak payah ‘meracau-racau’ dengan membuat pelbagai andaian berkaitan pergolakan dalam PN termasuk bercakap soal calon PM daripada PN dan jika Muhyiddin tiada, Anwar kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16 – Semua itu hanya membuang masa.
Faktanya, jika Muhyiddin melaksanakan keputusannya meletakkan jawatan Pengerusi PN secara aman, PN mungkin ada peluang untuk memenangi pilihan raya, tetapi dengan kekecohan yang berlaku imej PN sebagai gabungan alternatif sudah terjejas teruk.
Sama ada Muhyiddin kekal atau ‘exit’, imej PN sudah buruk dan ‘perang saudara’ dalam Bersatu tak akan berakhir manakala hubungan Bersatu dengan Pas tidak akan seperti dahulu lagi.
Secara peribadi, penulis pun berpendapat ‘’exitlah Tan Sri’’ – bukan soal orang menghargai atau tidak tetapi soal tidak mahu Muhyiddin terus dikecam. Paling malang, mereka akan mengaitkan apa yang berlaku ketika bekas Perdana Menteri itu berada dalam UMNO ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sehingga Tun Dr.Mahathir Mohamad memegang jawatan itu ketika berada dalam Bersatu.
Mungkin ketika itu Muhyiddin melakukan atas nama prinsip atau ada sebabnya tetapi apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan kemudian mahu ‘kembali berkuasa’ melalui Majlis Presiden..itu sudah cerita lain.
Kesimpulannya, dalam isu pergolakan PN ini tidak perlu mana-mana individu membuat andaian begitu jauh dengan mengaitkan orang luar dan menuduh orang dalam, sebab ia menampakkan kita ‘panik tak tentu hala’. Apapun ‘exitlah Tan Sri’’…ini pilihan terbaik


