POLIS menahan seorang wanita warga Indonesia dan kekasihnya rakyat Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak lelaki yang merupakan anak wanita terbabit di Georgetown, semalam.
Kanak-kanak itu yang berusia lima tahun merupakan anak wanita Indonesia terbabit hasil perkahwinan dengan seorang lelaki etnik Rohingya yang meninggal dunia tahun lalu.
Wanita berusia 30 tahun dan pasangannya yang berusia 34 itu direman selama tujuh hari sehingga 30 Julai bagi membantu siasatan, lapor Harian Metro.
Perintah tahanan reman ke atas mereka dikeluarkan Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi hari ini selepas membenarkan permohonan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Difahamkan dalam kejadian 10 pagi semalam, mangsa dibawa ke klinik oleh lelaki warga asing itu selepas mengalami muntah-muntah di rumah sewa didiami mereka di Georgetown.
Ketika kejadian, ibu mangsa berada di tempat kerja dan mangsa dikatakan tidak sedarkan diri apabila berada di klinik dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang, namun disahkan meninggal dunia.
Pihak hospital kemudian membuat laporan polis selepas menemukan kesan lebam di seluruh badan mangsa.
Susulan laporan itu, polis menahan ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu restoran dan teman lelakinya untuk siasatan lanjut.






