Budak 5 tahun maut terjatuh tingkat 24 kondominium dipercayai panjat kerusi dekat tingkap – Polis

KANAK-kanak berusia lima tahun yang maut akibat terjatuh dari tingkat 24 sebuah kondominium di Bukit Belah di Teluk Kumbar, Bayan Lepas malam tadi, dipercayai memanjat kerusi berhampiran tingkap ruang tamu rumahnya sebelum terjatuh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, kanak-kanak lelaki tempatan itu ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah.

Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung insiden terbabit awal pagi tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu berada di rumah bersama dua beradiknya yang sedang tidur, manakala bapa keluar sebentar atas urusan kerja dan ibu pula berada di luar negeri atas urusan pekerjaan.

“Kanak-kanak itu dipercayai terjaga daripada tidur sebelum memanjat sebuah kerusi berhampiran tingkap ruang tamu dan kemudian terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anuwal, hasil pemeriksaan pasukan forensik polis di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur atau tanda perlakuan jenayah.

Beliau berkata, mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 24 sebuah kondominium di Bukit Belah, Teluk Kumbar di Bayan Lepas malam tadi.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor, untuk urusan pengebumian selepas selesai proses bedah siasat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img