JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 9,286 unit barangan elektrik bernilai keseluruhan RM1.33 juta dalam serbuan di sebuah gudang persendirian di Bukit Belimbing, Seri kembangan, pada 13 Oktober lalu.
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 60-an yang juga pengurus gudang berkenaan bagi membantu siasatan kes penyeludupan barangan elektrik tanpa kelulusan sah.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan mendapati barangan elektrik pelbagai jenis dan fungsi itu dipercayai tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA) daripada Suruhanjaya Tenaga serta SIRIM.
Beliau berkata, pihak premis juga gagal mengemukakan dokumen kelulusan yang sah bagi barangan berkenaan ketika pemeriksaan dijalankan.
Menurutnya, nilai barangan yang dirampas dianggarkan RM1,012,200, manakala duti import dan cukai yang perlu dibayar berjumlah RM323,904.
“Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1,336,104.
“Siasatan awal mendapati barangan elektrik itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa kelulusan sebelum diedarkan kepada pembekal tempatan.
“Modus operandi sindiket adalah menggunakan invois pembelian tempatan bagi mengaburi asal-usul barangan import itu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Norizan berkata, pihak Kastam sedang mengesan pemilik sebenar barangan elektrik berkenaan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai duti kastam, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.





