JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa lebih 14 jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran yang memusnahkan lima premis perniagaan berhampiran kawasan ikon warisan Pulau Pinang, Jeti Chew di Georgetown hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul bagi memastikan tiada bahaya lain atau bara api yang boleh menyebabkan berlaku kebakaran selesai sepenuhnya jam 5 petang tadi.
“Api berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi. Kebakaran terbabit turut memusnahkan empat kereta iaitu Honda City, Mercedes-Benz, BMW dan Suzuki Swift,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 25 anggota bomba termasuk penyelia daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong terbabit dalam operasi pemadaman yang turut dibantu 18 Pasukan Bomba Sukarela berhampiran selain polis dan pihak Tenaga Nasional Berhad.
John berkata, operasi pemadaman melibatkan penggunaan lima jentera termasuk Light Fire Rescue Tender (LFRT), Fire Rescue Tender (FRT), tangki air, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah jengkaut.





