KEAJAIBAN berlaku di Nepal apabila seorang wanita berusia 64 tahun ditemukan masih hidup selepas dipercayai tertimbus di dalam rumahnya selama 10 hari akibat bencana banjir dan runtuhan lumpur di negara itu.
Chandrika Shrestha berjaya diselamatkan anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal ketika operasi pembersihan dijalankan di kawasan kediamannya di daerah Nuwakot.
Rakaman yang dikeluarkan pihak berkuasa menunjukkan Shrestha dalam keadaan tubuh dipenuhi lumpur ketika dikeluarkan dari kediamannya. Hampir keseluruhan tingkat bawah rumah berkenaan masih tertimbus akibat timbunan lumpur dan serpihan.
Timbalan Superintenden Polis Iqbal Hawari berkata, mangsa kemudian diterbangkan ke Kathmandu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan polis menemukannya ketika mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu,” katanya kepada AFP.
Penemuan tersebut berlaku ketika operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan selepas banjir besar serta aliran lumpur melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu. Bencana berkenaan dipercayai tercetus susulan runtuhan glasier dan batu yang menghasilkan aliran deras seperti tsunami.
Sebelum ini, pasukan penyelamat turut berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga China yang ditemukan masih hidup di dalam terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa.
Menurut agensi bencana Nepal, jumlah mayat yang telah ditemukan di negara itu mencecah 1,344 orang, manakala kira-kira 5,000 lagi masih belum ditemui.
Di China pula, media kerajaan melaporkan 31 kematian dengan 531 orang masih hilang.
Secara keseluruhan, bencana tersebut telah meragut sekurang-kurangnya 1,375 nyawa di kedua-dua negara, sementara lebih 5,500 orang masih dilaporkan hilang.





