POLIS memaklumkan kebakaran di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini yang meragut nyawa seorang kanak-kanak empat tahun berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 3.40 petang dan mengesahkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mendapati semasa kebakaran berlaku, mangsa berada di dalam rumah itu bersama lima adik-beradiknya berusia antara sembilan bulan hingga 10 tahun.
“Ibu mereka pula tiada di rumah kerana dikatakan pergi ke kedai untuk membeli makanan.
“Jiran-jiran yang menyedari kebakaran bertindak membantu kesemua mangsa, namun gagal menyelamatkan kanak-kanak itu kerana mangsa terperangkap di dalam bilik tidur utama yang terbakar,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Rosdi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan rentung dalam kebakaran unit pangsapuri PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di Kuala Lumpur hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.59 petang.


