Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik tewas pada aksi final tapi cipta sejarah negara

GANDINGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terlepas peluang untuk menjadi pasangan Malaysia pertama memenangi dua pingat emas Kejohanan Dunia selepas tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final.

Pasangan nombor empat dunia itu tewas 17-21, 16-21 kepada gandingan ranking ketiga dunia berkenaan dalam perlawanan yang berlangsung selama 35 minit di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi, India.

Walaupun gagal meraih kejuaraan, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya gandingan beregu lelaki Malaysia yang berjaya melangkah ke dua final Kejohanan Dunia.

Mereka sebelum ini mencipta sejarah memenangi pingat emas sulung Malaysia dalam Kejohanan Dunia pada 2022, diikuti pingat gangsa setahun kemudian. Keputusan kali ini menjadikan koleksi pingat Kejohanan Dunia mereka kepada tiga.

Kekalahan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini hanya memenangi tiga daripada 15 pertemuan menentang Liang-Wang.

Malaysia setakat ini hanya memenangi dua pingat emas Kejohanan Dunia sejak kejohanan itu diperkenalkan 49 tahun lalu. Emas kedua diraih gandingan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada tahun lalu.

Antara detik terbaik Aaron-Wooi Yik di New Delhi ialah kemenangan mereka pada peringkat separuh akhir ke atas pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan dan juara bertahan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Kejohanan Dunia tidak menawarkan hadiah wang tunai, namun gelaran juara dunia serta mata ranking yang penting untuk kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China pada Disember menjadi taruhan.

Aaron-Wooi Yik kini berada di kedudukan ke-10 dalam senarai kelayakan WTF, sedangkan hanya lapan pasangan terbaik akan dipilih untuk beraksi pada kejohanan berkenaan.

Mereka masih memburu gelaran pertama tahun ini selepas muncul naib juara pada Terbuka England dan Terbuka Malaysia, yang kedua-duanya merupakan kejohanan World Tour Super 1000.

Prestasi cemerlang mereka di Kejohanan Dunia kali ini juga berpotensi menimbulkan dilema kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang sebelum ini memisahkan gandingan tersebut bagi menguji kombinasi baharu sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Dalam tiga kejohanan World Tour terakhir, Aaron digandingkan bersama Aaron Tai, manakala Wooi Yik berpasangan dengan Man Wei Chong.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here