
KEMPEN Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda kesinambungan pentadbiran dan rekod prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata gerak kerja kempen gabungan itu bakal menonjolkan mutu kepimpinan dan pencapaian cemerlang pentadbiran di bawah teraju Aminuddin yang terbukti berjaya membawa limpahan impak positif kepada negeri itu sejak tahun 2018.
“Kita melihat prestasi dan mutu pentadbiran Tok Min sejak menerajui Negeri Sembilan menunjukkan pencapaian yang sangat baik dan membanggakan.
“Antaranya peningkatan kutipan zakat, lonjakan kutipan hasil bagi kerajaan negeri dan kemasukan pelaburan asing yang konsisten termasuk projek pembinaan sebuah pelabuhan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Serting, Palong, Jeram Padang serta Bahau di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol selesai.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata rekod prestasi kukuh menjadi sandaran utama PH untuk meyakinkan rakyat bahawa kesinambungan pentadbiran sedia ada amat penting bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran berterusan dalam ekonomi.
Mengulas mengenai strategi di DUN Jeram Padang yang menyaksikan saingan empat penjuru, Fahmi berkata calon PH akan memfokus kepada isu peluang pekerjaan yang sering dibangkitkan oleh golongan muda di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan bahawa G. Manivannan mampu menyantuni dan menawarkan lembaran harapan baharu kepada komuniti setempat melalui pelbagai peluang ekonomi yang sedang dan bakal dijana di seluruh Negeri Sembilan.
Manivannan, yang juga peguam merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan dicabar penyandang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN), R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal (Asli), calon tunggal Orang Asli.
Fahmi turut mengingatkan semua calon, jentera parti dan pengamal media agar memanfaatkan tempoh berkempen selama dua minggu ini dengan penuh tanggungjawab serta sentiasa mengekalkan keharmonian.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya berharap semua pihak terutama para warganet agar dapat berkempen secara sihat… elakkan menyentuh perkara sensitif melibatkan isu 3R (Agama, Bangsa, Raja) dan menyebarkan fitnah atau berita palsu,” katanya.
Fahmi juga berkata beliau akan memantau aspek kebajikan petugas media sepanjang tempoh pilihan raya itu berlangsung.
Proses penamaan calon bagi keempat-empat DUN di bawah Parlimen Jempol itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.






