MEDAN Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya, kembali dilanda banjir kilat dengan kedalaman air mencecah dua meter selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan, petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 4.55 petang dan mendapati air banjir berada pada kedalaman dua meter.
“Air menunjukkan trend menurun dan tiada mangsa terlibat atau pemindahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi membabitkan 12 anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).






