
TINDAKAN Barisan Nasional (BN) tidak akan menamakan calon Ketua Menteri Sabah lebih awal, sebaliknya hanya memutuskan perkara itu selepas gabungan tersebut menang jumlah kerusi yang mencukupi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November ini menimbulkan persoalan.
Kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi keputusan berhubung calon Ketua Menteri akan dibuat secara syura dan rundingan antara kepimpinan BN Sabah dan pusat sebaik sahaja keputusan pilihan raya diketahui.
“Kita telah membuat keputusan bahawa apabila kita memenangi kerusi yang banyak, barulah kita akan membuat cara syura dan perundingan untuk menentukan calon ketua menteri,” katanya selepas pelancaran manifesto BN Sabah.
Tetapi anehnya pada masa yang sama Zahid juga berkata, faktor hierarki dalam organisasi parti turut menjadi penentu penting dalam pemilihan calon.
“Tentunya kita meyakini bahawa hierarki itu harus diberikan keutamaan dalam organisasi parti kita,”
Kalaulah hierarki menjadi ‘penentu penting’ maknanya Datuk Seri Bung Moktar Radin lah individu paling layak menjadi calon Ketua Menteri Sabah. Ia kerana Bung Moktar adalah Ketua UMNO Sabah dan Ketua BN Sabah, jadi kenapa susah sangat untuk kepimpinan parti mengumumkan nama Bung Moktar.
Soal sama ada akan menang banyak kerusi atau tidak, itu soal kedua, apa yang penting rakyat Sabah hendak tahu siapa calon Ketua Menteri Sabah daripada BN? Lagipun bukan rahsia lagi tradisinya calon bagi jawatan itu bagi BN Sabah datang daripada UMNO.
Ia bermakna, Bung Moktar calon paling layak dan sering disebut-sebut sebagai calon berpotensi? Kenapa BN tidak umum sahaja nama beliau yang sedang bertungkus lumus mahu memastikan kemenangan parti tersebut dalam PRN berkenaan.
Memang benar Warisan dan Perikatan Nasional (PN) pun belum umum calon Ketua Menteri mereka tetapi secara umum orang tahu, kalau Warisan menang, sudah pasti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan kembali menduduki jawatan tersebut manakala PN pula, mereka Datuk Seri Ronald Kiandee adalah calon Ketua Menteri gabungan itu.
Tetapi BN tidak boleh ikut jejak Warisan dan PN. Sebagai sebuah parti besar dan salah satu parti dalam kerajaaan pusat dan berbangga dengan rekod cemerlang memerintah Sabah seperti mana kata Ahmad Zahid maka BN tidak perlu takut untuk umum siapa bakal Ketua Menteri daripada parti tersebut.
Lagipun BN sudah bertindak bijak apabila daripada 45 calonnya, 80 peratus adalah muka baharu. Oleh itu ‘sangat cantik’ jika BN umumkan siapa calon Ketua Menteri mereka yang akan mengepalai ‘wajah-wajah baru’ jika BN menang PRN Sabah.
Seperkara lagi BN juga menyatakan mereka tidak tergugat dengan siri serangan politik yang semakin agresif menyasarkan Bung Moktar.
“Kita tidak akan pernah lemah semangat dengan apa saja serangan, fitnah sama ada secara fizikal ataupun spiritual,” katanya.
Kalau begitulah semangatnya kenapa tidak umumkan sahaja siapa calon Ketua Menteri BN. Lagipun Ahmad Zahid pun kata sokongan semakin meningkat dan menjadi pendorong utama untuk calon BN terus berkempen secara agresif sehingga hari pengundian
Sudah pasti jika BN umumkan calon Ketua Menteri itu,sokongan akan semakin bertambah kerana Ahmad Zahid kata, pengundi kini lebih fokus kepada isu pembangunan dan penyelesaian masalah harian.
Selama ini pun itulah perjuangan Bung Moktar, justeru sangat sesuai jika beliau diumumkan sebagai calon Ketua Menteri. Adalah tidak adil kepada beliau jika BN terus berteka-teki dalam soal tersebut.
Jadi jika Ahmad Zahid yakin gelombang sokongan rakyat ke arah biru, maka jangan bimbang untuk umumkan Bung Moktar calon bagi jawatan tersebut supaya tak timbul spekulasi yang bukan-bukan….haru-biru nanti.


