PENUTUPAN Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Kuala Pilah dilanjutkan sehingga 23 Jun depan selepas pihak berkuasa mengesan tujuh kes leptospirosis (kencing tikus) baharu berlaku di pusat rekreasi popular itu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS), Mohd Yussainy Md Yusop berkata, penutupan itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung pada masa hadapan.
Menurut beliau, larangan bagi semua jenis aktiviti disambung hingga 23 Jun untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat peningkatan kes kencing tikus di kawasan itu.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah menerima pertambahan tujuh kes kencing tikus disahkan positif pada 18 Mei membabitkan individu yang mempunyai sejarah mandi di kawasan berkenaan pada 10 Mei.
“Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes. Justeru penutupan pusat rekreasi itu dilanjutkan untuk tempoh sehingga 23 Jun.
“Penutupan itu mengambil kira tempoh inkubasi daripada tarikh bermula kes terakhir bergejala dengan tarikh terakhir direkodkan adalah pada 15 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yussainy berkata, sepanjang tempoh itu orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan kegagalan mematuhi arahan terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada.
Sebelum ini, taman eko rimba itu ditutup hingga 24 Mei bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat empat kes kencing tikus di kawasan berkenaan.
Kes kencing tikus di pusat rekreasi itu mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun apabila beliau menggesa pengunjung termasuk di lokasi rekreasi lain di negeri ini supaya menjaga kebersihan bagi memastikan kejadian pengunjung dijangkiti penyakit kencing tikus tidak berulang.
“Saya minta mereka yang berkunjung ke Ulu Bendul dan tempat rekreasi yang lain supaya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah yang boleh mengundang penyakit seperti kencing tikus dan menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.


