RAKYAT Malaysia digalakkan memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dan melengkapkan pendaftaran masing-masing bagi menikmati manfaat kemudahan perkhidmatan digital imigresen yang lebih lancar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aplikasi itu diperkenal bagi membolehkan pelbagai proses penting dilakukan terus menerusi telefon pintar tanpa perlu melalui prosedur yang rumit.
“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri terus komited memperkukuh perkhidmatan digital demi memudahkan urusan rakyat.
“Aplikasi MyNIISe diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan dan urusan imigresen yang lebih lancar, cepat serta mesra pengguna,” katanya dalam hantaran melalui Facebook semalam.
Saifuddin Nasution berkata, aplikasi MyNIISe menawarkan perkhidmatan lebih mudah, pantas dan selamat, selain menjimatkan masa serta tenaga pengguna.
“Ini bukan sekadar aplikasi tetapi juga langkah ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih moden, efisien dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan, pendaftaran MyNIISe boleh dibuat dengan membuka aplikasi itu dan mendaftar melalui MyDigital ID, sebelum memilih ‘Mula cipta profil’ dan mengimbas halaman foto pasport.
Pengguna kemudian perlu menyemak maklumat dan mengesahkannya, mengambil gambar swafoto untuk pengesahan, serta mencipta kata laluan akaun.


