POLIS menahan seorang pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun positif dadah jenis tetrahydrocannabinol atau ganja.
Lelaki berusia 39 tahun itu yang merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula 16 April dan disambung lima hari lagi mulai esok hingga 27 April depan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pada 14 April lalu, kira-kira jam 5 petang seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mendapati keputusan ujian saringan air kencing mangsa positif tetrahydrocannabinol.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan berkenaan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat dan pada 11 April mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek kira-kira jam 9.30 malam pada 15 April lalu, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati, suspek tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif, manakala kanak-kanak perempuan itu telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumahnya.


