KERAJAAN sedang mengkaji mekanisme terbaik berhubung cadangan levi ke atas kenderaan elektrik (EV) bagi memastikan infrastruktur pengecasan awam yang mencukupi di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penyediaan kemudahan pengecasan itu perlu sepadan dengan penggunaan EV yang sedang berkembang pesat.
Menurut beliau, kerajaan tidak menyatakan untuk mengenakan levi itu kepada rakyat tetapi perlu mencari mekanisme untuk mengenakan caj.
“Tetapi apabila (caj) dikenakan kepada pengeluar, mereka perlu memindahkan kos itu kepada pengguna.
“Jadi berapakah nilai dan kosnya?. Berapa banyak lagi kerajaan boleh berikan subsidi?” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama Forum RHB Progress Series 2026 di ibu negara hari ini.
Johari berkata, kerajaan telah memberikan subsidi petrol kepada pengguna dan pada masa sama sedang berusaha menyediakan infrastruktur terbaik untuk pengguna EV.
“Belum ada tarikh akhir. Ini semua, apa-apa benda yang dibuat, akhirnya akan melalui Kabinet (Jemaah Menteri),” katanya.
Johari dalam pada itu berkata, kewujudan rangkaian pengecasan yang mencukupi penting bagi memastikan pengguna EV tidak berdepan kebimbangan kehabisan bateri ketika melakukan perjalanan jarak jauh merentasi negeri.






