Kerajaan kekal kuota 90 bumiputera masuk program matrikulasi – PM

KERAJAAN mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera bagi kemasukan ke program matrikulasi sebagai usaha memastikan akses pendidikan lebih adil dan inklusif, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata,  keputusan itu selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan luar bandar.

“Kalau kita hanya tumpu kepada sekolah terbaik dan golongan elit, majoriti anak-anak dari keluarga petani, nelayan dan pekebun akan terus ketinggalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, Kuala Terengganu hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau turut  menegaskan pelajar cemerlang tetap diberikan pengiktirafan apabila kerajaan memutuskan semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan tempat secara automatik ke program matrikulasi atau laluan setara.

Langkah itu, katanya, bertujuan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan keadilan sosial dalam sistem pendidikan negara.

 Mengenai Kolej Matrikulasi Terengganu, Anwar berkata, ia yang  pertama di negeri itu  akan disegerakan bagi menampung permintaan tinggi pelajar tempatan.

Projek dengan peruntukan awal RM27 juta itu dijangka mampu menampung sehingga 3,000 pelajar dengan kemudahan lengkap termasuk makmal moden, asrama dan infrastruktur ICT terkini.

 Anwar berkata,  konsep pembangunan turut mengambil pendekatan moden termasuk elemen “vertical school” yang mengintegrasikan kemudahan pembelajaran dan kediaman dalam satu kawasan.

“Projek ni, walaupun bermula dengan RM27 juta segera, tetapi bila siap projek ini besar. Jadi kalau kita boleh segerakan, kalau bila lengkap, konsepnya konsep moden, katanya.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 12 kolej matrikulasi dan tiga kolej matrikulasi kejuruteraan, dengan lebih 500,000 graduan telah dilahirkan sejak program itu diperkenalkan pada 1999.

 Kolej Matrikulasi Terengganu merupakan kolej matrikulasi ke-16 di negara ini.

 Dalam perkembangan lain, di Terengganu sahaja, jumlah permohonan ke program matrikulasi meningkat ketara daripada 4,485 pada 2021 kepada hampir 7,000 permohonan tahun ini, mencerminkan keperluan mendesak terhadap kemudahan pendidikan prauniversiti di negeri itu.

Kerajaan juga dijangka mengumumkan tawaran kemasukan matrikulasi dalam tempoh dua minggu lagi, termasuk kepada 6,717 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img