TOH Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan beliau terlibat dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
Balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, sebarang percubaan yang mencadangkan beliau berada di sebalik pendedahan Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga satu penghinaan kepada wartawan yang berkenaan.
“Dakwaan bahawa saya cuba mengganggu kestabilan atau menggulingkan kerajaan adalah sesuatu yang menggelikan hati dan mengingatkan kita kepada tuduhan lalu tentang menggulingkan kerajaan yang dihadapi oleh perdana menteri sendiri, apabila beliau pernah mengisytiharkan mempunyai ‘angka yang besar’ untuk merampas kuasa.
“Tidak seperti beliau, saya tidak pernah terlibat, merenung atau menyokong sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih,’’ katanya.
Na’imah berkata, walaupun teruja dengan dakwaan berada di sebalik laporan siasatan oleh Bloomberg, beliau tidak mahu mengambil kredit daripada mereka yang benar-benar menggunakan kemahiran dan bakat kewartawanan mereka untuk mendedahkan dakwaan mengejutkan yang menyelubungi ketua SPRM.
Sehubungan itu,Na’imah berkata, dakwaan beliau cuba menggugat kestabilan atau menjatuhkan kerajaan adalah tidak masuk akal.
‘’Pada bila-bila masa pun saya tidak pernah terlibat dalam, mempertimbangkan, atau menyokong sebarang usaha untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
‘’Tambahan pula, bagaimanakah seseorang boleh menjatuhkan kerajaan dengan bantuan media antarabangsa, atau apatah lagi melalui sebuah firma perhubungan awam? Jika itu benar, sudah tentu banyak kerajaan Malaysia sebelum ini telah tumbang berkali-kali,’’ tegasnya.
Na’imah mendakwa, individu yang membuat laporan tersebut telah mendekati beliau pada Julai 2025 dan menawarkan perkhidmatannya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi yang dicadangkan.
‘’Disebabkan prestasinya yang lemah dalam menjalankan tugas, perkhidmatannya telah ditamatkan. Selepas penamatan tersebut, beliau telah cuba membuat tuntutan kewangan selanjutnya. Jelas sekali, ini adalah tingkah laku seorang individu yang tidak berpuas hati,’’ katanya.


