
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji kerajaan akan meningkatkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya Kerajaan Persekutuan kekal stabil dan gabungan PH terus mendapat sokongan rakyat.
Beliau berkata, penambahan bantuan itu mampu dilaksanakan kerana kerajaan mengurus kewangan negara secara berhemah tanpa ketirisan.
“Dan kalau kerajaan ini stabil, rakyat sokong, Pakatan Harapan kuat, kita akan tambah SARA lagi bagi rakyat.
“Tahu sebab apa? Sebab kita bukan curi,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada program Grand Finale DUN Layang-Layang di Simpang Renggam malam ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.
Anwar berkata, bantuan seperti SARA diwujudkan bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan keperluan harian dan kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat yang hidup susah terus terbeban dengan kos sara hidup.
“Saya dengar ada orang miskin mahu beli minyak masak pun tidak cukup duit,” katanya.
“Macam mana saya boleh jadi Perdana Menteri, kereta ada, rumah ada, tetapi rakyat saya susah hendak beli barang keperluan. Sebab itu kita bagi SARA,” jelas beliau yang juga Menteri Kewangan.
Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan terus memperkukuh bantuan kepada rakyat sekiranya mendapat mandat dan sokongan berterusan.
Tambahnya, keutamaan pentadbirannya adalah memastikan hasil negara dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan serta program kebajikan.
SARA merupakan satu inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu golongan miskin dan miskin tegar untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
Program ini merupakan program lanjutan daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan MyKasih menggunakan sistem tanpa tunai melalui MyKad.






