Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan negara hadapi ancaman geopolitik – PM

KERAJAAN akan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan konflik antarabangsa menunjukkan ancaman keselamatan kini bukan sahaja melibatkan peperangan konvensional, malah merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj infrastruktur kritikal serta gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil serius perkembangan itu dan telah mengadakan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Khas semalam bagi meneliti tahap kesiapsiagaan negara serta keupayaan mekanisme sedia ada dalam menghadapi krisis dan ancaman hibrid.

“Hasil perbincangan tersebut, kerajaan berpandangan bahawa mekanisme pengurusan keselamatan dan krisis negara yang sedia ada perlu terus diperkukuh, khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tanpa pertindihan tanggungjawab atau kelewatan dalam membuat keputusan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau serta antarabangsa di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Menurut Anwar, pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society akan terus diberi penekanan kerana kesiapsiagaan menghadapi krisis bukan tanggungjawab satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, agensi keselamatan, sektor swasta dan masyarakat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui peningkatan kerjasama serta perkongsian maklumat serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai ancaman menerusi latihan dan simulasi berkala.

Selain itu, memperkukuh perlindungan infrastruktur dan sektor strategik negara termasuk tenaga, telekomunikasi, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, serta meningkatkan kesiapsiagaan rakyat melalui program pendidikan, latihan pengurusan krisis dan penyediaan panduan asas kesiapsiagaan isi rumah bagi menghadapi kecemasan.

Usaha itu turut merangkumi pengukuhan keupayaan agensi keselamatan dan pengurusan krisis menerusi pembangunan kepakaran, latihan, pengukuhan aset dan penggunaan teknologi bersesuaian, termasuk meningkatkan keupayaan agensi barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anwar berkata, bagi memastikan langkah berkenaan dilaksanakan dengan segera dan teratur, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah esok, termasuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi serta bekalan air dan tenaga tidak terjejas.

Mengulas perkembangan konflik di luar negara, Perdana Menteri berkata, situasi di Yaman dan kawasan Laut Merah berpotensi menjejaskan keselamatan pelaut dan rakyat Malaysia selain laluan perdagangan, bekalan tenaga serta rantaian logistik antarabangsa.

Beliau berkata, perkembangan keselamatan di Eropah pula menunjukkan ancaman yang semakin kompleks, termasuk serangan siber, manipulasi maklumat, sabotaj dan pencerobohan menggunakan dron.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa keselamatan negara perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada ancaman fizikal. Keupayaan melindungi infrastruktur kritikal, sistem komunikasi dan perkhidmatan penting juga perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan kesiapsiagaan negara.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus meneliti keperluan untuk memperkukuh dasar, mekanisme penyelarasan dan keupayaan agensi agar seiring dengan perubahan landskap ancaman keselamatan semasa,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan turut mengambil maklum langkah beberapa negara seperti Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun yang menasihatkan rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari susulan ketidaktentuan situasi antarabangsa.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius terhadap sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara termasuklah warganegara Malaysia yang berada di luar negara.

“Sehubungan itu, pihak perwakilan Malaysia sentiasa memantau perkembangan semasa dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang berkenaan.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia turut berpotensi menjadi sasaran ancaman berdasarkan maklumat risikan yang diterima kerajaan, namun tidak semua maklumat berkenaan boleh didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, antara faktor menjadikan Malaysia berpotensi menjadi sasaran ialah kekuatan negara dalam bidang digital dan pusat data, selain pendirian tegas Malaysia berhubung isu yang menjadi kontroversi bagi sesetengah negara, khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat, termasuk isu Palestin dan Gaza.

“Kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data di antara yang terkuat. Kalau dalam angka terakhir umpamanya kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.

“…dan kedua, kerana pendirian kita juga tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara, terutama Eropah dan Amerika, terutama soal Palestin dan Gaza,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata beliau akan meminta Ketua Pengarah MKN mengadakan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari bagi menjelaskan perkembangan terkini berdasarkan maklumat risikan kerajaan.

“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperoleh petang semalam dan juga pagi tadi daripada Menteri Dalam Negeri juga, hal ini jangan kita pandang ringan.

“Jadi saya mohon kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu, dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu berdasarkan maklumat kerajaan, adakah Malaysia menjadi sasaran dan sejauh mana sasaran itu terhadap negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here