DALAM usaha mengurangkan beban rakyat kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat susulan kenaikan harga bahan api tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
“Turunkan harga minyak sekarang ini tidak mampu tetapi cukai jalan itu boleh dikurangkan dan terdapat sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel di Malaysia. Masih kecil ketimbang keseluruhannya tetapi bagi 1.8 juta kenderaan ini ada masalah kerana harga diesel naik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di Batu Kawan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sekali lagi menegaskan kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi bagi petrol RON95 menerusi Program Budi MADANI (BUDI95) dengan tanggungan subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.
Beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini bukan hanya tertumpu kepada harga bahan api, sebaliknya turut memastikan bekalan kekal mencukupi susulan krisis bekalan global.
Dalam ucapan itu Perdana Menteri turut menjelaskan, Anwar Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
‘’Dasar luar Malaysia yang bebas dan berdaulat membolehkan negara menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat, China serta negara di Asia Barat walaupun berlaku konflik di beberapa wilayah.
“Kita (Malaysia) tidak campur dari segi ketenteraan, tidak campur sehingga menjejaskan hubungan baik kita, tetapi kita sebagai negara bebas dan berdaulat mesti bersuara kalau ada jenayah besar terhadap mana-mana negara, seperti sikap satu negara umpamanya Israel mengambil keputusan bom sekolah,” katanya.


