Kerajaan Selangor dan Bersatu bakal meterai perjanjian persefahaman

KERAJAAN Negeri Selangor dan parti pembangkang Bersatu semakin menghampiri perjanjian persefahaman merentasi parti.

Langkah itu bakal memberi Bersatu peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri, menurut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.

Jika Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini akan memberi sokongan lebih dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 56 anggota kepada Menteri Besar Dat Amirudin Shari.

Afif berkata rundingan antara kedua-dua pihak menunjukkan perkembangan positif, dengan pengumuman dijangka dibuat tidak lama lagi.

“Akan ada pengumuman nanti. Yang penting, untuk kebaikan semua rakyat Selangor, termasuk di kawasan (Dewan Undangan Negeri) yang dipegang Bersatu,” katanya lapor Malaysiakini.

Ketika ini Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Negeri Selangor dengan menguasai  35 daripada 56 kerusi DUN Dewan Undangan Negeri (DUN), terdiri daripada 32 daripada PH, dua daripada BN dan seorang bebas. Di bangku pembangkang, Bersatu menguasai 11 kerusi manakala Pas mempunyai 10 kerusi.

Ditanya sama ada persepakatan itu merangkumi peruntukan kawasan bagi anggota Dewan Undangan Negeri Bersatu, Afif berkata perbincangan itu melangkaui isu peruntukan semata-mata.

Antara tuntutan utama Bersatu ialah akses kepada mesyuarat kerajaan, sekali gus membolehkan wakil rakyatnya membangkitkan isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Afif berkata parti itu mahu ADUN mereka dilibatkan dalam proses membuat keputusan pentadbiran negeri.

“Kami sebelum ini sebagai ADUN pembangkang tak boleh hadir mesyuarat di peringkat kerajaan (negeri) dan juga PBT,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan parti itu menuntut jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau sebagai Ahli Majlis PBT.

Minggu lalu, Amiruddin dilaporkan berkata ADUN Bersatu akan menandatangani perjanjian dengan kerajaan Selangor sebelum belanjawan negeri dibentangkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here