PENJAWAT awam kini berpeluang menikmati diskaun 20 peratus bagi langganan keahlian pandapro selama setahun menerusi inisiatif Insentif Rebat RAHMAH pandapro Penjawat Awam 2026 yang dilancarkan hari ini.
Inisiatif hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dengan platform penghantaran makanan foodpanda itu diperkenalkan bagi membantu meringankan kos sara hidup penjawat awam, selain menyokong pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil melancarkan inisiatif berkenaan bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026 di Putrajaya hari ini.
Menerusi tawaran khas di bawah perkhidmatan Payung RAHMAH itu, penjawat awam yang mempunyai alamat e-mel rasmi kerajaan berakhiran @xxx.gov.my layak menikmati potongan harga bagi pelan langganan pandapro selama 12 bulan.
Tempoh penebusan dibuka mulai hari ini hingga 31 Disember 2026 menerusi aplikasi foodpanda.
Pelaksanaan insentif itu mencerminkan usaha kerajaan memperluas kerjasama dengan sektor swasta dalam menyediakan kemudahan yang memberi manfaat langsung kepada warga perkhidmatan awam.
Selain membantu mengurus perbelanjaan harian, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tunjang kepada kelancaran pentadbiran negara.
Penjawat awam yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta panduan penebusan melalui dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan di portal rasmi dan saluran media sosial Kementerian Komunikasi.
Pada majlis pelancaran hari ini, yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta pengurusan tertinggi Kementerian Komunikasi.





