
JIKA melihat perkembangan sejak kebelakangan ini, hubungan antara Pas dan Bersatu yang bersama dalam Perikatan Nasional (PN) agak sukar untuk diperbaiki.
Bukan lagi rahsia, hubungan kedua-dua parti itu semakin rentak. Di peringkat akar umbi Pas, mereka sudah menolak kerjasama dengan Bersatu sehingga ada Pas kawasan yang meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Penulis tidak pasti apakah keputusan yang akan dibuat oleh Pas pusat malam esok tetapi secara peribadi penulis berpendapat Pas tidak perlu lagi hipokrit untuk mempertahankan hubungan mereka.
Sejak kebelakangan ini Pas sentiasa menjadi sasaran pemimpin Bersatu sama ada secara tertutup mahupun terbuka. Atas pentas ceramah Pas dikecam oleh pemimpin Bersatu seolah-olah tidak ada secebis pun rasa hormat, itu belum mengambil kira kenyataan kepada media.
Di belakang pula, ada pemimpin Bersatu menganggap Pas semakin angkuh dan pada masa sama ada juga pemimpin Pas merasakan cara terbaik kedua-dua parti membawa haluan masing-masing.
Penulis tertanya-tanya kenapa Pas masih lagi mahu mempertahankan hubungan dengan Bersatu. Kalaulah atas alasan demi penyatuan ummah, Pas lupakan sahaja mahu berbincang dengan Bersatu.
Banyak lagi parti Melayu lain yang Pas boleh ajak untuk bersama melaksanakan agenda itu. Sampai bila Pas mahu diperkotak-katikkan? Sampai bila Pas mahu dilihat takut untuk meninggalkan Bersatu kerana bimbang dituduh parti ekstrem?
Pas sepatutnya tidak teragak-agak memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana apapun alasan yang akan diberikan oleh Pas untuk meneruskan hubungan dengan parti akan menyebabkan ‘orang ketawa berguling-guling’.
Pas perlu tegas mempertahan martabat dan maruah sebagai parti terkuat dalam PN dan parti Melayu terkuat dalam Parlimen. Jika kepimpinan Pas membuat keputusan untuk bersama dengan Bersatu, ia PASTI akan mengecewakan ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Kepimpinan Pas tidak wajar membuat keputusan mengikut penilaian mereka sahaja, suara akar umbi jangan dipinggirkan. Ia kerana mereka yang bekerja di bawah, mereka yang bertungkus lumus memastikan kemenangan calon-calon PN dalam pilihan raya.
Benar ahli dan penyokong akan taat dan patuh kepada arahan pemimpin tetapi wajarkah pandangan mereka seolah-olah diketepikan?
Dalam soal Bersatu, pemimpin Pas hanya satu sahaja pilihan iaitu menamatkan hubungan antara kedua-dua parti. Tidak mengapa masing-masing bawa haluan sendiri dalam pilihan raya. Lagipun pemimpin Bersatu sudah kata ‘’jangan buta dan pekak’’ untuk mengatakan Bersatu tidak ada jentera.
Justeru malam esok pemimpin Pas perlu buktikan ‘tidak buta’ untuk melihat realiti sikap Bersatu dan mereka ‘tidak pekak’ untuk mendengar apa yang pemimpin Bersatu kata kepada Pas. Oleh itu Pas buatlah keputusan demi maruah mati bukannya mahu terus disakiti!


