Kerajaan terus perkukuh ekonomi, salur hasil negara demi kebajikan rakyat – PM

KERAJAAN komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negara bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik yang memberi tekanan terhadap kos sara hidup, kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi rakyat.

“Walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan harga minyak melambung tinggi, kita gunakan kekuatan ekonomi negara untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini.

Menurut Perdana Menteri, antara langkah yang diambil kerajaan termasuk mengekalkan harga RON95 dan diesel pada kadar rendah menerusi pemberian subsidi bagi mengurangkan kesan peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

Cabaran itu berpunca daripada peningkatan harga minyak global, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi susulan konflik antarabangsa, termasuk Perang Teluk dan sekatan di Selat Hormuz, katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, kerajaan meneruskan pelaksanaan pelbagai program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan persekolahan dengan peruntukan melebihi RM20 bilion.

Katanya, peruntukan besar berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan hasil kekayaan negara disalurkan semula kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Ini adalah usaha memaknai kemerdekaan dengan memastikan kekayaan negara diangkat kedudukan ekonominya dan dicurahkan semula kepada rakyat,” katanya.

Anwar turut mengiktiraf pengorbanan penjawat awam yang tidak menikmati pelarasan gaji selama 12 tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan melaksanakan kenaikan gaji serta pelarasan pencen secara berperingkat sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan terus memperkukuh asas ekonomi negara menerusi pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi hijau bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img